Tuesday, September 10, 2013

Debassa diberi kontrak RM 82 juta


BDA dan Debassa Development tandatangani kontrak bina jalan

Posted on September 10, 2013, Tuesday
MEMETERAI: Mohidin (dua kanan) dan Leonard bertukar dokumen perjanjian kontrak sejurus selesainya acara menandatangani kontrak berkenaan di Bintulu semalam.
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Debassa Development Sdn Bhd (Debassa Development) menandatangani kontrak pembinaan jalan sepanjang 4.8 kilometer bernilai RM81.9 juta di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) di sini semalam.
BDA diwakili Pengurus Besarnya Datu Mohidin Ishak manakala Debassa Development diwakili oleh Pengarah Urusannya Leonard Martin Uneng yang turut disaksikan oleh wakil kedua-dua pihak.
Mohidin berkata BDA dan kerajaan negeri terus menjalinkan kerjasama erat untuk memastikan penyediaan prasarana dan infrastruktur di kawasan SIP dan penambahbaikan dari semasa ke semasa demi keselesaan pelabur yang menjalankan aktiviti perindustrian di kawasan terbabit.
Jelasnya, Projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) merupakan projek terpenting kerajaan negeri pada masa sekarang dalam membantu dalam mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan sekali gus memajukan kawasan wilayah tengah Sarawak yang kurang maju jika dibandingkan kawasan-kawasan lain di negeri ini.
“Justeru, BDA merupakan badan pelaksana kemajuan dan projek pembangunan di Bintulu dengan bantuan kerajaan pusat dan negeri bagi memastikan projek SCORE dapat dilaksanakan dengan lancar dan sebagaimana dirancang demi kesinambungan pembangunan industri di Kota Tenaga Sarawak ini,” katanya.
Menurutnya, buat masa sekarang BDA berpuas hati dengan kelancaran projek pembangunan di SIP yang mana lebih banyak projek penambahan infrastruktur dan prasarana terutama struktur jalan sedia ada dan jalan baharu bagi melancarkan perjalanan trafik di kawasan terbabit.
Kerja-kerja penambahbaikan itu memudahkan aktiviti perindustrian di kawasan SIP dari segi logistik dan pengangkutan yang merupakan antara aspek terpenting bagi memajukan sesebuah kawasan perindustrian.
“Justeru, projek pembinaan jalan berkembar di SIP ini membantu mengurangkan kesesakan di kawasan terbabit terutama pada waktu puncak sekali gus memberi keselesaan kepada pekerja berulang-alik dari SIP ke bandar Bintulu setiap hari,” ujarnya.
Mohidin turut menasihati kontraktor dilantik (Debassa Development) agar melakukan kerja-kerja pembinaan jalan mengikut spesifikasi jalan yang ditetapkan sebagaimana termaktub dalam perjanjian.
“Apa yang paling penting, segala bahan pembinaan hendaklah daripada bahan berkualiti bagi memastikan jalan tersebut dapat digunakan dalam jangka masa yang lama setelah siap,” katanya.
Hadir sama Pengarah Eksekutif Debassa Development Joseph Sinayun dan Setiausaha BDA Siti Aishah.


No comments:

Post a Comment