by S.CONNIE PEARL SUILconypearl09@gmail.com. Posted on July 13, 2012, Friday
KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi terminal penyimpanan minyak yang terbesar dan pertama di Kepulauan Borneo.
Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata projek Terminal Penyimpanan Minyak Sabah (SOST) bakal memainkan peranan penting dalam menyediakan kemudahan penyimpanan sebahagian besar dalam sektor minyak dan gas di rantau ini.
Katanya, kemudahan penyimpanan itu juga menjadi pusat transit dalam mencapai pasaran minyak antarabangsa.
“Secara logistik, Sabah terletak berhampiran negara pengeluar minyak terbesar seperti Indonesia, Timor Leste, Filipina dan paling penting ia terletak berhampiran dengan pengguna utama seperti China, Jepun, Taiwan, Korea, Vietnam dan Kemboja.
“Dengan pengwujudan SOST di Lahad Datu, tempat ini bakal memainkan peranan penting dalam penyediaan kemudahan penyimpanan minyak dalam sektor minyak dan gas.
“Secara tidak langsung, ini juga akan mewujudkan peluang kepada pengusaha minyak terbesar untuk mencapai pelanggan mereka di Korea, China dan pasaran lain di dunia,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) SOST antara Petro Asia Pac Sdn Bhd dan Fehm Group, OGPP Engineering Sdn Bhd dan Rayahan Sdn Bhd,” di sini kelmarin.
Menurutnya, aktiviti itu juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan menyediakan perkhidmatan sokongan dalam industri minyak dan gas serta pembangunan wilayah ini.
Sementara itu, Pengarah Petro Asia Pac, Mustaza Basarudin berkata projek bernilai RM2 bilion yang mempunyai kapasiti penyimpanan sebanyak satu juta tan metrik itu bakal beroperasi penuh pada awal tahun 2016.
No comments:
Post a Comment