Borneo Post on March 11, 2013, Monday
KUCHING: Kemasukan pelancong ke Sarawak meningkat sebanyak 7.2 peratus tahun lepas berbanding tahun sebelumnya kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan.Beliau memberitahu, jumlah kemasukan pelancong ke Sarawak mencatat peningkatan yang amat memberangsangkan iaitu sebanyak 4.07 juta pada 2012 berbanding tahun sebelumnya.
“Untuk kemasukan pelancong asing sahaja ia meningkat 12.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong tahun lepas hasil promosi, program dan aktiviti yang kita adakan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Apresiasi Media Berbasikal di Sama Jaya Forest Park, Tabuan di sini semalam.
“Malah, kita turut memulakan tahun ini dengan baik. Dalam laporan awal tahun ini kita telah menerima anugerah perak pada Anugerah HSMAI Adrian 2012 di New York,” tambahnya.
Pada masa yang sama Rashid memberitahu, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) turut mendapat anugerah untuk kali keempat dalam festival antarabangsa sebagai antara 25 yang terbaik pada 2013.
“Ini adalah hasil sokongan para media yang bersama-sama dengan STB mempromosikan keunikan Sarawak,” katanya sambil menambah bahawa STB akan meneruskan kerjasama dengan media di negeri ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Biro Konvensyen Sarawak (SCB) Mike Cannon mempelawa para media di Sarawak untuk turut serta dalam anugerah MICE pada tahun ini.
“Antara hadiah yang bakal dimenangi adalah wang tunai RM12,000,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Operasi Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Eric Van Piggelen, Pengurus Wilayah Sarawak Forestry Corporation Semilan Ripot dan tetamu kehormat lain.
Dalam program itu pihak media diajak bersama-sama mengayuh basikal di sekitar kawasan Pending untuk menggalakkan atau mempromosikan kawasan itu.
Selain itu, ia bagi merapatkan lagi hubungan STB dan agensi-agensi berkaitan dengan pihak media yang ada di negeri ini.
No comments:
Post a Comment